Faisal Tehrani
menulis sebuah cerpen pendek di dalam laman sesawang Free Malaysia Today, pada 18
Januari lalu yang berjudul “Mengapa Shali Tidak Mahu Mengundi”. Tulisan tersebut
saya fikir sangat menarik untuk dihayati mesejnya. Ia berkenaan kisah seorang anak muda bernama
Shali yang berusia 29 tahun, yang tidak lagi berminat untuk mengundi dalam
pilihan raya disebabkan “masalah keyakinan
dan kepercayaannya” terhadap sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini.
Dia bukan sahaja tidak
yakin dan percaya, malah kelihatan sudah sangat kecewa dengan seluruh sistem
pilihan raya yang penuh dengan keraguan, manipulasi dan penipuan – sehinggalah
akhirnya dia membuat keputusan, adalah lebih baik tidak mengundi daripada
mengundi, namun ditipu hidup-hidup oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Cerita yang
dilakarkan oleh Faisal Tehrani melalui watak Shali merupakan simbolik tentang realiti kewujudan golongan pengundi muda yang
telah hilang kepercayaan terhadap sistem yang menunjangi demokrasi di negara
ini. Pada mereka, cara terbaik bagi menunjukkan rasa kekecewaan tersebut adalah
melalui kaedah memboikot dan menghasut rakyat agar melakukan undi rosak.
Sejak akhir-akhir
ini, ketika semua pihak memberi tumpuan dalam melaksanakan proses demokrasi
yang amat ditunggu-tunggu itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kempen di media
sosial dengan “hashtag undi rosak dan boikot pilihan raya” yang sangat cepat
merebak dan mendapat perhatian warga netizen di dalam media sosial. Kita
sememangnya tidak menolak, akan terdapatnya agenda dan anasir tertentu melalui
kempen tersebut. Ia seolah-olah telah dirancang dengan rapi dan cuba mengambil kesempatan atas
sentimen kekecewaan segolongan pihak terhadap isu-isu yang melibatkan calon
perdana menteri, parti dan SPR.
Kempen #undirosak,
#boikotpilihanraya, #takmengundi dan #protestpru itu dikaitkan dengan
sekumpulan pengundi muda yang kononnya sudah ‘bosan, penat dan letih’ dengan
perkembangan politik negara. Kempen tersebut mengajak rakyat negara ini terutama pengundi
muda agar tidak keluar mengundi atau sekalipun keluar mengundi, kertas undi
perlu dirosakkan di samping memboikot pilihan raya yang akan datang sebagai
tanda protes.
Fenomena kertas
undi rosak adalah perkara biasa dalam pilihan raya walaupun tidak dapat
dipastikan sama ada perkara itu berlaku secara sengaja atau tidak. Sejarah
pilihan raya di beberapa negara luar dan Malaysia sendiri menyaksikan beberapa
kejadian kertas undi rosak ini berlaku. Sebagai contoh pada Pilihan Raya Umum
Ke-12, sebanyak 324,120 kertas undi rosak dan ditolak manakala pada PRU-13 pula
332,297 kertas undi rosak telah direkodkan iaitu 171,556 undi bagi kerusi
Parlimen dan 151,741 untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Aliran pertambahan
jumlah kertas undi rosak ini sememangnya membimbangkan lebih-lebih lagi apabila
jumlah kertas undi rosak lebih besar atau hampir menyamai majoriti yang
diperoleh pemenang. Pada pilihan raya umum yang lepas sekurang-kurangnya 13
kawasan Parlimen berhadapan dengan situasi sedemikian. Maka timbulkan pelbagai
pandangan. Ada yang mengatakan jumlah undi rosak yang terlalu besar di
satu-satu kawasan pilihan raya bukan disebabkan kecuaian pengundi tetapi sengaja
dilakukan sebagai tanda protes kepada calon, SPR atau parti bertanding.
Saya juga meyakini
bahawa kempen undi rosak tidak muncul secara organik dalam kalangan pengundi
muda yang kecewa, sebaliknya ia merupakan kempen yang strategi, yang dilakukan
secara halus oleh sekumpulan individu bagi memenuhi kehendak dan kepentingan
diri sendiri. Natijahnya, tidak sedikit pengundi muda yang terpengaruh dengan
kempen dan dakyah kumpulan tersebut dalam meracuni pemikiran pengundi muda
supaya mengikut rentak tari mereka, sekali gus memudahkan cita-cita dan dendam
mereka direalisasikan.
Saya masih meyakini
bahawa sebahagian besar undi rosak dilakukan adalah berpunca daripada protes para
pengundi terhadap sistem dan institusi SPR yang sering dilihat berat sebelah,
kerana banyak membantu memenangkan parti pemerintah. Dan golongan inilah yang
terikut-ikut dengan kempen yang tidak bertanggungjawab ini. Hakikatnya emosi mereka
telah dipergunakan bagi memenuhi agenda kumpulan tertentu.
Motif sebenar
kempen seumpama ini digerakkan tidak dapat dipastikan secara jelas.
Bagaimanapun kempen ini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu
kawasan pilihan raya, malah turut melibatkan negara. Mengundi adalah hak setiap
rakyat yang layak. Terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak
kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang
sia-sia ini.
Justeru itu, adalah
menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan untuk meyakinkan para pengundi muda bahawa sekiranya
golongan ini menolak kempen yang merosakkan demokrasi ini dan berfikiran waras
dengan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14 nanti, Insya-Allah kita akan
sama-sama mengubah institusi pilihan raya di negara ini agar menjadi lebih
telus, terbuka dan penuh integriti. Saya secara peribadi amat yakin dengan kebijaksanaan pengundi muda dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen kotor seperti ini.
Oleh sebab itu jangan sesekali mensia-siakan
undi anda atau terpengaruh dengan kempen yang tidak menguntungkan mana-mana
pihak ini. Beri kepercayaan kepada Pakatan Harapan, untuk kali ini jangan rosakkan
undi anda, hanya kerana mengikut emosi atau terpedaya dengan pihak yang kecewa. Jom,
pakat ramai-ramai kita tolak kempen #UndiRosak kita tukar kepada kempen
#JomUndiPH.
#TekalBerjuangTekadBerubah
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.