Friday, 19 January 2018

BERAKHIRNYA SEBUAH MITOS



Mahathir sebenarnya sebahagian daripada sebab-musabab yang menjadikan UMNO itu kuat. Itulah adalah fakta. Jika tidak, UMNO sudah lama digantikan dengan Parti Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Selepas Tun Mahathir bersara – Tun Abdullah dan Dato’ Seri Najib hanyalah penyambung saki-baki kekuatan UMNO yang masih ada setelah dirobek oleh gerakan reformasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dan semenjak daripada itu, UMNO tidak pernah berjaya untuk memulihkan kembali kekuatan politiknya di persada arus perdana. UMNO sentiasa dilihat tidak lagi relevan, di samping sebuah parti yang hanya mahu mengekalkan legasi dan warisan budaya politik yang berpaksikan kepada dasar perkauman dan bukan melalui elemen integriti, prestasi dan merit. 

Bantuan demi bantuan yang acap kali diberikan atas nama “membantu orang Melayu” akhirnya tanpa disedari merosakkan diri orang Melayu itu sendiri, sehingga terdapat segelintir orang Melayu yang takut untuk bersaing dan berdikari atas kekuatan diri sendiri. Minda dan mentaliti orang Melayu, khususnya di pendalaman sentiasa terikat dengan bayang-bayang UMNO – yang sebahagian besarnya adalah hasil ciptaan Mahathir juga. Ya, Mahathir bukanlah insan yang sempurna, sama seperti Haji Hadi dan Anwar Ibrahim, tetapi politik bukanlah cerita tentang kesempurnaan atau cerita untuk mengejar sebuah negara Utopia – yang seringkali didambakan oleh Plato, Socrates, Aristoteles, Thomas Moore dan Karl Marx. 

“Di Utopia tidak ada perang!” Kata Plato, “perang muncul karena ketamakan, ketamakan muncul karena ada rasa memiliki, dan Utopia tidak memiliki itu!” Teriak Plato berapi-api sambil disaksikan muridnya. 

Lalu, timbullah pelbagai pertanyaan, “Plato, bagaimana dengan negara Utopia menjalankan sistem kenegaraan? Apakah mereka juga mengadakan pilihan raya? Apakah Utopia menganut sistem demokrasi?.”

“Demokrasi sudah terlalu lama! Mereka menciptakan persaudaraan kolektif! Yang commune!”, ucap Plato. 

Sejak Plato mengucapkan hal tersebut lebih daripada 2000 tahun yang lalu, kita sering melihat demokrasi dan politik adalah untuk “melahirkan sebuah negara yang sempurna” –lantas kita pun berperang dan bercakaran sesama kita untuk melihat akan terlaksananya sebuah negara Utopia, tetapi negara Utopia adalah mimpi! Kita tidak akan menjumpai sebuah parti politik yang sempurna, atau seorang pemimpin yang sempurna atau sebuah negara yang sempurna – yang selalu ditemui dalam catatan sejarah tentang pemimpin yang baik adalah pemimpin yang adil, yang tidak mengambil hak rakyatnya, yang tidak menyusahkan rakyatnya, yang hidup dalam kesederhanaan, yang disayangi oleh rakyatnya, yang selalu diingati akan jasanya, yang selalu mengutamakan kebajikan rakyat dan negaranya. Tiada sebuah buku sejarah pun yang menulis si pulan dan si pulan adalah pemimpin yang sempurna – kecuali Muhammad nabi junjungan kita! Selain daripada itu tidak ada. 

Mengorek dan mencukil sisi gelap kepimpinan Mahathir tanpa mengambil kira jasa baktinya – adalah umpama orang yang hilang kewarasan, yang lebih selesa hidup dalam sejarah dan perjuangan silam, yang teragak-agak dalam membuat perhitungan penting yang berdasarkan waqi dan realiti semasa. 

Mereka membenci Mahathir dan dosa-dosanya – tetapi pada masa yang sama mereka seolah-olah selesa dan tidak berasa apa-apa terhadap kerosakan yang sedang melanda tanah air kita di bawah pentadbiran Najib. Rakyat mengeluh, ahli perniagaan menjerit, kakitangan awam dicekik dan ekonomi negara tersepit, namun mereka masih terpekik-pekik tentang sejarah silam Mahathir, tentang Pepsi dan Coca-cola dan tentang memilih antara dua syaitan – sedangkan mereka sendiri tidak menyedari syaitan yang sedang bersarang dan menghasut mereka agar kekal dan bersama dengan pemimpin yang merompak, mencuri, menggadaikan negara dan menzalimi rakyatnya! 

Mahathir, sekiranya mempunyai kepentingan diri sendiri – beliau boleh sahaja tidak meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dahulu, saat UMNO-BN menangis memujuknya agar kekal di puncak kuasa, tetapi beliau memilih untuk bersara. Dan sekiranya benar-benar beliau mempunyai cita-cita untuk menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri, ia sebenarnya mampu sahaja dilakukan pada ketika beliau masih berkuasa, atau setidak-tidaknya mengambil langkah berdiam diri atas segala kerosakan yang sedang menimpa negara pada hari ini, dan hanya perlu berbisik sahaja kepada Najib agar memberi laluan kepada Mukhriz untuk mendaki hierarki kuasa di dalam UMNO – tiada masalah untuk Najib menunaikannya, tetapi itu bukan pilihan Mahathir. 

Lantas, sikapnya yang bersunguh-sungguh untuk menjatuhkan Najib dan pasukannya membuktikan bahawa ada “sesuatu bencana yang amat besar” yang membimbangkan dirinya, lalu beliau memilih jalan lain untuk membetulkannya. Najib telah menyebabkan Mahathir kembali bekerja dan bukan untuk berpolitik. Beliau dipaksa untuk bekerja dalam usianya yang sudah lanjut demi membetulkan kembali arah dan masa hadapan negara dan rakyatnya yang semakin hampir dihancurkan, seandainya Najib dibiarkan terus berkuasa. 

Dengan mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan, sekurang-kurangnya 50% masalah utama orang Melayu untuk mencipta perubahan dalam politik tanah akhir dapat diselesaikan. Orang Melayu bukannya takut atau tidak mahu berubah, tetapi mereka memerlukan keyakinan yang utuh terhadap pemimpin Melayu yang mampu menjaga dan memimpin mereka. Mahathir – adalah nama yang amat sinonim dengan gelaran ultra-Melayu, bahkan amat lantang dalam memperjuang masa hadapan bangsanya, beliau adalah keyakinan baharu untuk orang Melayu membuang ketakutan mereka terhadap mitos kononnya akan terhapus kuasa Melayu di bumi tercinta ini, sekiranya  UMNO-BN kalah dalam pilihan raya. 

Inilah yang digambarkan oleh Presiden AMANAH, Tuan Haji Mohamad Sabu dengan kata-katanya, “Mereka yang letakkan, kalau UMNO kalah, Kit Siang jadi perdana menteri. Jangan main-main. Politik bukan statistik. Politik adalah persepsi. Persepsi inilah yang ditanam begitu lama menyebabkan orang Melayu dan pegawai kerajaan tidak berani buat perubahan. Bukan setakat orang kampung, para profesor, intelektual Melayu pun ada berfikiran begitu kalau UMNO-BN kalah, Lim Kit Siang akan jadi perdana menteri.” Dan pencalonan Tun Mahathir – telah melenyapkan mitos usang ini untuk selama-lamanya!

#TekalBerjuangNekadBerubah
     

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...