Monday, 15 January 2018

PENEROKA ADALAH TUAN TANAH : BANGKITLAH WAHAI PENEROKA!


Tidak pernah saya melihat sebahagian besar masyarakat yang saya jumpa saban hari begitu “ghairah” bertanya kepada saya, bilakah Najib hendak membubarkan parlimen? Rata-rata orang yang saya temui begitu tidak sabar untuk mengundi dalam PRU-14 ini. Saya perhatikan gelagat para pengundi muda dan yang berusia pertengahan, mereka seakan-akan amat teruja untuk mengundi selain daripada parti tradisi yang selama ini mereka kenali – mereka mahu perubahan, dan bukan perubahan yang sedikit. 

Rakyat kelihatan – walaupun tidak menyuarakan secara berterus-terang, namun hati mereka menjerit melihat pelbagai skandal yang melanda negara hampir setiap hari natijah daripada kegagalan kepimpinan dan pentadbiran Dato’ Seri Najib. Antara skandal yang amat menyakitkan hati mereka, sudah tentulah skandal yang melibatkan FELDA. 

Walaupun hari ini, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan FELDA mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara FELDA dengan Synergy Promenade Sdn Bhd. (SPSB), ia sama sekali tidak dapat mengembalikan semula kepercayaan warga FELDA terhadap kerajaan UMNO-BN. Skandal ini tidak ubah seperti “seorang pencuri yang mengembalikan barangan curiannya kepada rakan pencurinya sendiri” – ia tidak memberi banyak makna, realitinya adalah jelas FELDA telah diuruskan oleh golongan yang tidak amanah lagi pecah amanah! Kisah spesies pencuri dan perompak yang bertenggek di atas kerusi empuk FELDA ini, bukan baru semalam, sudah lama mereka duduk di situ, namun yang bezanya adalah dahulu spesies ini hanya mencuri baja FELDA, tetapi sekarang mereka curi tanah FELDA!  

Inilah barangkali yang dimaksudkan oleh selebriti terkenal Datuk Chef Wan dengan kata-katanya , 'Dulu Felda, Sekarang 'Failed Dah'," Sebagai anak peneroka, Chef Wan akui beliau amat kecewa dengan skandal terbaharu tanah FELDA ini. 

Saya masih teringat dengan pandangan Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram, pakar ekonomi terkemuka antarabangsa. Beliau menerangkan bahawa, Pakatan HARAPAN harus melihat dan mengutamakan skandal-skandal yang melingkari FELDA, kerana ia sebenarnya jauh lebih besar bencananya berbanding dengan skandal seperti 1MDB.   Hal ini termasuklah kontroversi berkaitan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), yang beliau percaya ia merupakan skandal yang lebih besar menjejaskan rakyat.  

Pada 2012, FGV meraih RM10.5 bilion melalui tawaran awam permulaan berdasarkan harga runcit RM4.55 sesaham. Bagaimanapun, Prof Jomo berkata, harga saham menjunam menyebabkan harga saham tersebut pada saat kini kurang daripada 40% berbanding harga tawaran asal. Ini merupakan antara isu yang sangat signifikan dan memberi kesan secara terus kepada warga FELDA. 

Sejak Dato’ Seri Najib melantik Tan Sri Isa Samad pada 2011 untuk mengetuai FELDA yang diasaskan ayahnya sendiri, Tun Abdul Razak, FELDA terus dirundung malang. Sebagaimana skandal kewangan terbesar 1MDB, pada tahun 2017 menyaksikan satu demi satu kebobrokan pengurusan FELDA terdedah dan menjadi bualan masyarakat di semua peringkat

Sebelum skandal tanah FELDA di Jalan Semarak yang melibatkan nilai RM270 juta ini muncul beberapa minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka fail siasatan mereka terhadap pembelian Park City Grand Plaza London (2013) dengan harga RM330 juta di London. 

Kehancuran FELDA sebenarnya sudah mula kelihatan pada tahun 2012, apabila Felda Global Ventures North America Sdn Bhd (FGVNA) mencatatkan kerugian RM27.6 juta dalam pelaburannya sebanyak RM1 bilion di Amerika dan Kanada. Dan tiga tahun kemudian, Laporan Ketua Audit Negara pula mengesahkan sebanyak RM47.6 Juta hilang dalam satu projek FELDA melibatkan penternakan ikan sturgeon. Sehingga setakat ini, FELDA  melalui Felda Investment Corporation (FIC) telah menimbulkan curiga terhadap urusniaga ‘terlebih bayar’ pembelian hotel. Ia melibatkan pembelian Hotel Grand Borneo di Sabah (RM86.4 juta), Park City Grand Plaza di Kensington, London (RM330 juta, harga sepatutnya RM110 juta) dan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching (dibeli RM50 juta lebih mahal). 

Skandal-skandal yang wujud ini nampaknya masih belum cukup untuk memberi isyarat kepada Najib apabila Isa Samad masih diberi jawatan Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Ogos lalu. 

Kita hairan mengapa Najib terus memberi muka kepada Isa menerajui agensi-agensi kerajaan meskipun individu itu mempunyai rekod buruk. Walaupun terbukti bahawa Isa telah banyak membuat kerosakan ke atas FELDA.

Sepatutnya Isa ‘dibersarakan’ lebih awal sejak beliau dibuktikan bersalah mengamalkan politik wang dalam pemilihan UMNO 2005 yang menyebabkannya digantung jawatan dan keahlian parti itu selama enam tahun. Kebusukan ini nampaknya terus didiamkan dan kerajaan UMNO terus memberi kepercayaan kepada individu korup menguruskan amanah rakyat. Kita amat sedih bilamana wang hasil usaha peneroka FELDA menjadi taruhan pemimpin tamak yang mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama – ini satu kemunafikan terbesar!

Sudah tentu, krisis kelemahan urus tadbir dan penyelewengan yang pernah sebelum ini melanda ‘institusi Bumiputera’ seperti MARA dan Tabung Haji juga telah memberi malu dan tamparan kuat kepada kerajaan UMNO – Barisan Nasional (BN). Satu-satunya jalan keluar daripada krisis penyelewengan dan salah urus tadbir parah ini ialah melalui reformasi pentadbiran yang boleh dicapai melalui kesungguhan politik. Persoalannya, adakah rakyat bersedia melakar perubahan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak?

FELDA ditubuhkan dengan susah payah – tetapi pada hari ini, FELDA yang sangat dekat dengan orang Melayu itu semakin menuju ke arah kemusnahan hasil daripada campur tangan orang politik yang lebih mementingkan isi perut mereka sendiri. FELDA mempunyai lebih daripada 1 juta hektar ladang yang merupakan milik peneroka-peneroka, tetapi nampaknya ada tangan ghaib yang seolah-olah cuba menggadaikannya satu demi satu demi memenuhi nafsu serakah mereka.

Hari ini para peneroka FELDA terpaksa menanggung hutang akibat daripada penyelewengan dan salah tadbir urus dalam kalangan orang politik dan para pegawai pentadbirannya yang tidak amanah, dan hutang ini pula akan diwarisi pula oleh anak-anak peneroka yang tidak berdosa. 

FELDA  tawar 800,000 unit perumahan bagi generasi kedua tetapi berapa sahaja yang siap. Setiap kali nak PRU mereka akan keluarkan borang untuk diisi tetapi lepas pilihan raya, tetapi sebenarnya habuk pun tiada. Orang yang bertanggungjawab ke atas kerosakan yang sedang dialami oleh FELDA sekarang bukan Isa Samad sahaja, tetapi orang yang melantik Isa Samad itulah yang patut memikul tanggungjawab ini. Najib tidak boleh lepas tangan – beliau juga mesti disiasat.

Saya tidak dapat bayangkan lagi sekiranya 112,635 peneroka FELDA yang terdapat di seluruh negara sekarang ini pun tidak mampu kebajikan mereka dijaga dengan baik oleh pentadbiran Najib – mana mungkin beliau mampu menjaga kebajikan lebih daripada 28 juta penduduk Malaysia. Kegemilangan FELDA dalam tahun 1980 hingga 2010 perlu dikembalikan semula, pada hari ini kita tidak ada pilihan, jika kita inginkan perubahan dan nasib peneroka FELDA terbela, maka sama-samalah mengundi Pakatan Harapan!

#TekalBerjuangNekadBerubah



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...