Tuesday, 9 January 2018

BELAJARLAH MENULIS DI ATAS PASIR

"Saya gesa semangat permuafakatan segera dipahat dalam wadah HARAPAN dengan mengetepikan kenyataan melampau dan terlanjur. Prinsip luhur inilah yang  perlu dahulukan, manakala permasalahan lain yang tidak asasi atau mendesak diungkai secara musyawarah,"

Ini adalah kenyataan yang amat tegas daripada Ketua Umum Pakatan HARAPAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum Konvensyen Pakatan Harapan  Ahad ini. Dan ini jugalah merupakan arahan yang jelas daripada Anwar kepada kita semua– beliau mahu semua pihak mengetepikan sebarang percanggahan dan perbezaan pendapat, demi memberi fokus kepada satu matlamat tunggal HARAPAN – iaitu menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk kuasa!

Saya yakin dan percaya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada kali ini benar-benar mahu melihat seluruh warga HARAPAN, tidak mengira siapa sahaja mereka sama ada NGO, orang perseorangan, aktivis, rakyat biasa, ataupun penjawat awam – selagi mereka mempunyai matlamat yang sama dengan kita, iaitu mahu mencipta PERUBAHAN terhadap iklim politik dan pentadbiran di negara ini, maka syarat utamanya hanyalah satu iaitu “lupakan sengketa, perkukuh titik persamaan, hindari permusuhan dan memperteguh perpaduan” – itulah mesejnya.

Ayuh, lihatlah kembali jiwa dan sosok tubuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim – jika insan yang pernah dizalimi ini sanggup melupakan sengketa serta berjiwa besar demi memperjuangkan hak rakyat, maka siapalah kita untuk menyimpan dendam dan menjadikan sejarah hitam bersarang di dalam lubuk hati yang kelam, namun bibir petah bercakap soal perjuangan! Tidak berasa malukah kita?

Ingat! Perjuangan bukan hanya tentang kemenangan, tetapi ia juga tentang kemaafan dan penyingkiran terhadap rasa benci dan amarah. Seorang pejuang tulen adalah mereka yang bijak menjadikan kemaafan sebagai titik kekuatan untuk menggerakkan kesatuan bagi mencapai agenda dan matlamat yang jelas.

Bukankah Allah telah mengingatkan kita dengan firmannya yang bermaksud,   "Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." [Surah A'raaf : ayat 199] dan firmannya lagi, "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Surah An-Nuur : 22]

Lupakah kita bahawa salah satu tanda orang beriman adalah memiliki sifat suka memaafkan dan suka memohon kemaafan. Dan janganlah hendaknya pula, kita menjadi manusia yang bukan sahaja tidak mengaku membuat kesilapan, bahkan sangat berat  untuk memohon kemaafan.

Teringat saya akan sebuah cerita tentang dua orang sahabat yang amat akrab, yang sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. Di tengah perjalanan, mereka bertengkar, dan salah seorang menampar temannya. Orang yang kena tampar, berasa sakit hati, tapi tanpa berkata apa-apa pun, dia menulis di atas pasir : HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENAMPAR PIPIKU.

Mereka terus berjalan, sehinggalah i menemui sebuah oasis, lantas mereka membuat keputusan untuk mandi. Orang yang pipinya kena tampar dan terluka hatinya, cuba berenang namun nyaris tenggelam dan lemas, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya. Ketika dia mula sedar daripada lemas dan rasa takut sudah hilang, dia menulis di atas sebuah batu : HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENYELAMATKAN NYAWAKU. Orang yang menolong dan menampar sahabatnya itu berasa pelik, lalu bertanya, "Mengapa setelah saya melukai hatimu, kamu menulisnya di atas pasir, dan sekarang kamu menulis di atas batu pula?"

Temannya sambil tersenyum menjawab, "Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir, agar angin maaf datang menghembus dan menghapus tulisan tersebut dengan segera. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup angin."

Dan percayalah kedua-dua tokoh ini – baik Tun Mahathir ataupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kedua-duanya memiliki kekuatan dan kelebihan, maka selagi mereka masih hidup dan bersemangat, gunakan kudrat dan pengalaman mereka berdua demi menyelamatkan negara tercinta kita ini.

Maka,  sekali lagi, saya mengingatkan diri saya sendiri dan seluruh warga Pakatan HARAPAN yang terdiri daripada AMANAH, DAP,PKR dan PPBM, marilah sama-sama kita jadikan Konvensyen Pakatan Harapan di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada Ahad ini sebagai titik baharu perubahan, yang tidak hanya berkisar soal politik dan kepincangan kerajaan BN semata-mata, bahkan ia seharusnya menjadi platform bagi setiap parti mengukuhkan persahabatan, ukhuwah dan kesatuan, demi berhadapan dengan kebobrokan kerajaan BN dan memenuhi aspirasi rakyat. Ayuh! Sahut perubahan ini!

#TekalBerjuangNekadBerubah

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...