Di lebuh raya,
sewaktu perjalanan pulang seusai Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam
masih tergiang-giang kata-kata Tun Dr. Mahathir semalam, berhubung isu
agihan kerusi dalam kalangan parti Pakatan Harapan. Beliau menyebut
dengan nada yang berterus-terang, “Yang menjayakan agihan parti ini
adalah AMANAH” – lantas berdiri sekalian perwakilan memberi penghormatan
kepada presiden kita Saudara Haji Mohamad Sabu. Beliau juga pada
awalnya kelihatan tergamam dan terkejut, tidak disangka akan diberi
penghormatan tidak hanya oleh pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir,
bahkan turut sama diberi “tabik hormat” oleh para pemimpin Pakatan
Harapan yang turut sama hadir dalam majlis semalam.
Inilah
kekuatan dan kekentalan jiwa ahli-ahli AMANAH – mereka melihat jauh ke
hadapan, tidak mahu dibebani dengan hal-hal yang remeh yang boleh
menghalang kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU yang akan datang.
Saya melihat isu agihan kerusi parlimen semalam, bukanlah satu isu yang
besar, sangat jelas ia merupakan sebahagian daripada kerangka strategi
untuk menawan Putrajaya dan bukan sekadar untuk memenangi hati ahli
parti semata-mata.
Namun demikian, AMANAH tidak menghalang para
pemimpin dan ahlinya menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung
pembahagian kerusi parlimen di kalangan parti-parti Pakatan Harapan
kerana kita menganggapnya sebagai amalan biasa dalam demokrasi.
Mana-mana parti politik pun pasti akan berhadapan dengan situasi seperti
ini. Seperti mana kenyataan timbalan presiden AMANAH Salahuddin
Ayub,“Itu hak mereka untuk bersuara,”
Kita harus faham fokus
utama parti adalah untuk memenangi pilihan raya umum dan menubuhkan
kerajaan di peringkat persekutuan bersama Pakatan Harapan dan soal
pembahagian kerusi parlimen sudah pun diputuskan secara bersama. Dalam
pada itu, harus kita fahami rundingan masih lagi berjalan untuk agihan
kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di situlah nanti peranan
AMANAH akan lebih tampak dan menonjol. Kita sangat yakin akan
memperolehi bilangan kerusi yang munasabah di peringkat negeri.
Yang perlu kita utamakan adalah bukan jumlah kerusi yang diperuntukkan,
sebalik jumlah kerusi yang berpotensi untuk menang . Jika kita
diperuntukkan dengan kerusi yang banyak sekali pun, tetapi tewas dalam
pilihan raya ia tidak memberi apa-apa erti juga. Justeru itu,
kebijaksanaan pucuk pimpinan kita dalam berbincang dan bertolak ansur
dalam soal ini, menjadikan situasi kita semua dalam keadaan
‘menang-menang’. Inilah yang dijelaskan oleh presiden kita semalam,
katanya “InsyaAllah, kita akan menang semua (kerusi),”.
Malah,
menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, walaupun parti baru
berusia dua tahun, namun kita berjaya memperoleh kerusi parlimen yang
sebelum ini dituntut. Menurutnya lagi, “Kita dapat kebanyakan kerusi
(parlimen) yang kita mahu. Dan kerusi yang AMANAH dapat adalah kerusi
yang berpotensi tinggi boleh menang,”.
Saya sangat berharap agar
seluruh ahli AMANAH akar umbi khasnya dapat melihat isu agihan kerusi
ini dalam kerangka yang holistik, kita tidak mahu ia dijadikan isu atau
senjata yang cuba dimainkan oleh parti lawan khususnya PAS dalam usaha
memperlekeh dan merendah-rendahkan parti kita. Ringkasnya dapat saya
simpulkan dalam isu agihan kerusi parlimen ini adalah begini ;
1. Agihan kerusi parlimen yang kelihatan diperoleh sedikit oleh
AMANAH merupakan sebahagian daripada strategi Pakatan Harapan.
2.
27 kerusi parlimen yang diberikan kepada AMANAH merupakan
kawasan-kawasan parlimen yang berpotensi besar untuk kita memperoleh
kemenangan.
3. Kedudukan kerusi AMANAH di peringkat Dewan
Undangan Negeri masih dalam perbincangan akhir dan sebahagian besar
kerusi telah kita dimuktamadkan, InshaAllah AMANAH ada peranan besar
kita di peringkat negeri.
Akhir kata, saya menyeru agar
ahli-ahli AMANAH berlapang dada, kembali kepada agenda utama kita untuk
melihat perubahan secara holistik baik di peringkat persekutuan mahupun
di peringkat negeri. Percayalah bahawa kita tidak mampu memuaskan hati
semua pihak, tetapi pada masa yang sama kita juga tidak rugi dengan
banyak. Jangan mudah terpedaya dengan serangan parti lawan, mereka
sebenarnya dalam kegelisahan dan tidak tentu arah! Ayuh maju ke hadapan. Kita bangga menjadi sebahagian keluarga besar AMANAH. Parti penyatuan demi mencapai impian yang lebih besar, Demimu Malaysia!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.