Tuesday, 16 January 2018

PAKATAN HARAPAN DENGAN KEYAKINAN BAHARU



Ketua propaganda Nazi, Joseph Goebbels, yang mengutarakan pendapat bahawa “sesuatu pembohongan yang besar itu jika diulangi tanpa henti, lama-lama ia akan dipercayai.”, inilah yang sedang dilakukan secara agresif  oleh UMNO-BN terhadap komuniti Melayu di ceruk-ceruk kampung dan dalam kalangan warga peneroka FELDA. Mereka ditanamkan dengan kefahaman dan kepercayaan bahawa DAP ingin menguasai Malaysia atau mengundi Pakatan Harapan umpama mengundi DAP. Dengan kepercayaan karut itu jugalah UMNO-BN mengambil kesempatan membolot dan mencuri harta rakyat dan menafikan hak mereka selama ini. 

Namun demikian, perkembangan politik mutakhir telah menunjukkan arus perubahan yang amat berbeza dalam siri-siri gerakan parti pembangkang sebelum ini dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan UMNO-BN. Rakyat Malaysia  tidak mengira latar belakang ideologi politik seolah-olah sudah mula mencongak dan mengira untuk merasai perubahan iklim politik yang selama ini dipelopori gaya politik UMNO-BN. 

Pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan telah banyak membantu mengubah cara orang Melayu kampung pedalaman berfikir – Mahathir yang suatu ketika dahulu sangat bermusuhan dengan DAP, kini telah bersama-sama dengan Pakatan Harapan bagi menyingkirkan parti yang dipimpinnya sendiri selama 22 tahun. Mahathir, kerap kali dalam ucapannya berkata bahawa UMNO yang dikenalinya sekarang bukan lagi UMNO yang membela orang Melayu, sebaliknya ia telah menjadi parti milik Najib. 

Batang tubuh Mahathir telah memecahkan dogma lama yang bersarang di dalam kotak minda masyarakat Melayu pedalaman, yang percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela nasib mereka. Dan sekarang ia tidak lagi seperti itu – orang Melayu sudah mempunyai pilihan untuk menggantikan UMNO yang semakin hari semakin  menyusahkan hidup mereka, bahkan turut mencuri dan merompak harta mereka tanpa disedari. 

Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Mahathir telah memberi keyakinan baharu kepada sebahagian besar orang Melayu, bahawa nasib mereka akan terbela, malah masa hadapan mereka juga tidak akan terjejas, sekiranya mereka berani mengundi Pakatan Harapan. Mahathirlah satu-satunya dalam sejarah kepemimpinan UMNO yang mendapat “lencana kehormat” dengan nama julukan “Ultra-Melayu”  sejak parti itu dilahirkan pada tahun 1946. 

Jika terdapat pemimpin UMNO yang mempertikaikan usia Mahathir yang terlalu tua untuk memimpin kembali Malaysia, maka apakah perbezaannya pula dengan usia UMNO yang sudah pun mencecah 72 tahun? Bukankah itu juga menunjukkan bahawa UMNO sudah terlalu tua dan patut dibersarakan sahaja? 

Mahathir juga pada hari ini telah mencipta sejarah tersendiri dalam politik negara, apabila berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dalam satu pakatan raksasa demi mewujudkan keyakinan yang bukan hanya untuk rakyat Malaysia, tetapi yang lebih penting lagi adalah keyakinan untuk orang Melayu bahawa mereka mempunyai pilihan yang lebih baik daripada pakatan UMNO-BN. 

Mustahillah sosok tubuh yang berusia 92 tahun itu, yang berkali-kali menangis mengenangkan nasib bangsanya, yang selama ini berjuang meningkatkan maruah bangsanya, yang selama ini menegur, menasihat, dan membantu bangsanya, tiba-tiba tergamak mahu memusnahkan masa hadapan bangsanya sendiri yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun! Orang Melayu bukannya bodoh untuk menelan mentah-mentah hujah UMNO yang kononnya Mahathir  telah diperalatkan oleh DAP. 

Tiada sesiapa pun yang mampu menafikan, bahawa Mahathir adalah orang yang paling lantang bercakap soal kepentingan bangsa dan masa hadapan negaranya, kerana itu merupakan darah daging perjuangannya selama ini. Dan amatlah lucu, sekiranya UMNO terus melemparkan tuduhan bahawa  Mahathir sengaja menubuhkan PPBM dan menyertai Pakatan Harapan semata-mata mahu menghancurkan negara ini. Mahathir hanya mahu menghancurkan penipuan, penyelewengan dan rasuah yang telah menghancurkan bangsanya.  

Inilah kematangan politik yang ditunggu-tunggu oleh rakyat selama ini. Rakyat pada ketika ini telah disajikan dengan satu lagi juadah pilihan, Pakatan Harapan sebagai pilihan bagi mereka yang sudah muak dengan sajian lapuk Barisan Nasional. Generasi mutakhir hari ini melihat BN sudah lapuk dan tidak habis-habis dengan nyanyian dendangan lagu klasik lama yang sudah berhabuk. 

‘Grand coalition’ pakatan pembangkang ini lebih meyakinkan rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara ini sebagai salah satu 'option' yang garang, berwibawa dan 'stylish' untuk mengubah kerajaan yang tidak bermaruah, korupsi dan tidak jujur. PRU kali ini adalah kemuncak segala PRU dalam negara demokrasi yang sudah 60 tahun Merdeka bilamana Mahathir yang sudah berumur 92 tahun itu dipersetujui untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke- 7, sementara menunggu Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan. 
  
#TekalBerjuangNekadBerubah

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...