Saturday, 13 January 2018

BERDAMAI DENGAN SEJARAH SILAM DEMI MASA HADAPAN NEGARA

Saya mengimbau kembali kata-kata Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu kira-kira tujuh bulan yang lalu ketika beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Parti Amanah Negara Parlimen Kota Raja. Ketika beliau ditanya oleh seorang wartawan berkenaan kerjasama antara Pakatan HARAPAN dengan Tun Mahathir yang pernah menjadi seteru mereka, Mohamad Sabu menjawab dengan tegas tanpa rasa ragu, katanya, “Semua pernah ada isu dengan Tun Mahathir, saya sendiri pun ada isu dengan beliau. Dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Tun Mahathir jadi perdana menteri. Tetapi, kita nak berdendam pun apakah itu lebih penting daripada matlamat kita untuk menukar pemerintah yang begitu teruk dan sakit sekarang ini? Kita perlu ketepikan dendam.”

“Bagi kita, yang penting sekarang ini gabungan Pakatan HARAPAN mahu menukar pemerintah. Itu lebih penting berbanding mahu mempersoalkan isu-isu dan dendam lama dengan Tun Mahathir,”

Inilah kata-kata yang sering diulang oleh Mohamad Sabu setiap kali berhadapan dengan cubaan dan ujian terhadap prinsip dan asas pegangan politiknya – keutamaan beliau adalah jelas, tiada isu peribadi yang boleh mengatasi prinsip perjuangannya yang mahu membela dan menyelesaikan masalah rakyat jelata secara holistik dan bersepadu. Jika Datuk Seri Anwar  Ibrahim boleh membantu mencapai niat suci perjuangan politiknya, maka dengan Anwarlah beliau bekerjasama, jika Tun Mahathir boleh menyelesaikan masalah dan membantu kehidupan rakyat marhaen, maka dengan Mahathir jugalah beliau boleh bekerjasama – dan sekiranya kedua-dua tokoh tersebut boleh membantu aspirasi perjuangannya selama ini, maka dengan kedua-dua tokoh tersebutlah Mohamad Sabu akan bekerjasama.

Tidak mengira siapa dan atas platform mana, sekiranya ia menepati aspirasi dan semangat perjuangan beliau bagi menentang kezaliman dan penyelewengan kerajaan UMNO-BN yang sudah banyak menyusahkan rakyat, maka tiada alasan mengapa beliau tidak boleh bekerjasama.

Perjalanan politiknya yang panjang dan penuh suka-duka, menjadikan Mohamad Sabu matang, berjiwa besar dan berupaya melihat jauh ke hadapan dalam menggerakkan perubahan.

Agihan kerusi yang dilihat seperti menyisihkan Parti Amanah baru-baru ini, sebenarnya perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas dan dengan hati yang ikhlas – maka kita akan memperoleh  jawapan yang rasional tanpa melibatkan pemberontakan emosi. Dan Parti Amanah memahami realiti dan keperluan ini, lantaran itu kita sanggup berkorban lebih daripada rakan-rakan yang lain. Kita mahu merealisasikan aspirasi rakyat yang mahu melihat, pertama semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam Pakatan HARAPAN yang mampu mengatasi semangat setia kawan UMNO-BN, ini merupakan sebahagian daripada kelemahan kita yang perlu kita perbaiki demi mendapatkan keyakinan daripada rakyat.

Untuk mencapai hasrat ini Amanah memainkan peranan utama serta sanggup berkorban demi mendapatkan kesepaduan dan keputusan yang ideal bagi mengukuhkan prinsip tolak ansur serta semangat bersatu-padu Pakatan HARAPAN.

Kedua, agihan kerusi ini juga secara tidak langsung menutup mulut para pengkritik, kononnya Amanah adalah parti yang kemaruk untuk berkuasa dan gilakan pangkat serta kedudukan.

Ketiga, kita mahu meyakinkan masyarakat Melayu bahawa mereka tidak akan kehilangan hak dan keistimewaan mereka hanya kerana mengundi Pakatan HARAPAN, kita memperuntukkan kerusi yang banyak kepada Parti BERSATU demi membuktikan bahawa kita serius dalam memperjuangkan kepentingan semua kaum dalam acuan yang baharu. Kita tidak mahu lagi, UMNO-BN menakutkan para pengundi, kononnya jika mereka mengundi Pakatan HARAPAN seolah-olah mereka mengundi DAP. Dan sekarang, isu seperti itu tidak lagi relevan dan mendominasi iklim politik perkauman yang sering menjadi bahan kempen UMNO-BN.

Yang Keempat, kita mengorbankan emosi dan luka sejarah silam kita bersama dengan Tun Mahathir demi siapa? Bukan demi kepentingan diri kita sendiri,tetapi demi kehidupan dan suasana rakyat yang semakin tertekan.  Jika kita mengikut kehendak hati dan dendam, kita tidak akan bekerjasama, jauh sekali mencalonkan nama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7. Lantas, kita bersepakat demi rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran ekonomi , politik dan keselamatan dewasa ini, yang sangat memerlukan gandingan kepimpinan yang berpengalaman, kuat lagi mantap.

Tun Mahathir bersama partinya juga tidak berupaya mengubah keadaan dan kerosakan negara ini secara keseorangan – beliau menyedari hal itu – dan beliau juga telah mengorbankan perasaan dan keegoannya demi kelangsungan dan survival rakyat serta negaranya daripada terus dimusnahkan oleh Dato Seri Najib dan UMNO.

Dan kita bersepakat – bukannya mudah, bahkan sangat lama berbincang, berunding dan mengkaji, sebelum kita membuat keputusan dengan hati yang terbuka walaupun sukar – untuk memberi peluang kedua kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkuasa itu, untuk kembali membetulkan kesilapan lama dan menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan dan penyelewengan pentadbiran Dato’ Seri Najib dan para pemimpin BN yang semakin hari semakin tidak terkawal.

Malah kita mengetahui – dengan pengalaman yang sangat lama, Tun Mahathir adalah individu yang paling memahami gerak-geri politik dan strategi dalam menghadapi anak-anak buahnya sendiri yang berada di dalam UMNO-BN, ingat “hanya jauhari yang mengenal manikam”.

#TekalBerjuangNekadBerubah

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...