Ini kenyataan sinis tetapi pedas daripada Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, “Selama 22 tahun Tun Mahathir menjadi perdana menteri sehingga berjaya membawa Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan dikenali di seluruh dunia – dan secara tiba-tiba kejayaan tersebut dianggap sebagai satu “kerosakan” pula kepada negara, akibat ketakutan melampau BN untuk menghadapi cabaran HARAPAN dalam PRU terdekat ini.”
Saya rasa, penghinaan terkini yang dilemparkan oleh para pemimpin BN terhadap Tun Mahathir yang pernah memimpin mereka pada satu ketika dahulu, nampaknya jauh lebih teruk dan melampau jika dibandingkan dengan “kutukan” parti pembangkang terhadap beliau sepanjang 22 tahun memimpin negara ini.
Tun Mahathir sekurang-kurangnya tidak pernah menyuap “nasi” ke dalam mulut parti pembangkang selama beliau menjadi perdana menteri – lantaran itu kami tidak terhutang budi secara langsung dengan beliau. Namun demikian, ia berbeza dengan BN – Tun Mahathir ibarat seorang ayah, yang selama 22 tahun tidak pernah lupa menyuapkan nasi ke dalam mulut mereka, tetapi hari ini, merekalah yang melemparkan najis kepadanya. Orang Melayu selalu diingatkan dengan konsep “mengenang jasa dan budi” – tetapi apa yang berlaku ketika ini, UMNO cuba menggambarkan Tun Mahathir sebagai musuh kepada orang Melayu, sedangkan musuh sebenar Tun Mahathir adalah UMNO yang korup, parti yang sekarang ini dipenuhi dengan orang sanggup menggadaikan apa-apa sahaja demi kepentingan perut dan nafsu mereka!
Kami, Pakatan HARAPAN, tidak bercakap soal umur – tua atau muda – yang layak menjadi Perdana Menteri, tetapi kami bercakap berkenaan siapakah yang mampu mendukung dan membawa gagasan politik baharu dan tidak terperangkap lagi dengan sisi-sisi gelap dogma politik lama yang diwarisi dengan gaya UMNO-BN. Mempertikai usia Tun Mahathir untuk dicalonkan sebagai bakal perdana menteri adalah umpama menafikan fakta bahawa Nelson Mandela berumur 76 tahun saat beliau dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan, dan kisah kejayaan Beji Caid Essebsi, Presiden Tunisia yang berusia 91 tahun yang membawa Tunisia ke arah demokrasi dan keamanan yang lebih baik.
Oleh itu kita tidak berbicara tentang umur – kita berbicara tentang pembaharuan. Malaysia mesti dikeluarkan daripada sisi gelap yang selama ini dipimpin secara rakus dan tidak bertanggungjawab di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib. Dan sekarang, rakyat Malaysia ditawarkan dengan dua pilihan sama ada gandingan Mahathir-Azizah ataupun Najib-Zahid. Tiada isu perkauman di sini, tiada tentang DAP mahu menghapuskan orang Melayu dan Islam, dan tiada isu kuasa Melayu terhakis di bawah Pakatan HARAPAN. Yang ada hanya satu – mana satu gandingan tersebut yang mampu menyelesaikan sekalian banyak isu penyelewengan dan masalah ekonomi yang sedang menyelubungi kehidupan seharian kita. Harga barang yang naik, kos kehidupan yang meningkat, ekosistem perniagaan yang semakin rosak, nilai ringgit yang tidak kukuh dan masalah pengangguran yang semakin membimbangkan.
Lantaran itu – Pakatan Harapan menawarkan dua orang doktor yang cuba menyelamatkan Malaysia daripada penyakit yang tenat ini. Kita memerlukan orang yang berpengalaman dan orang yang tahu selok-belok politik dunia, ekonomi dan pentadbiran negara. Ayuh, kita cipta perubahan!
#TekalBerjuangNekadBerubah!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.