Wednesday, 11 April 2018

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli bin Haji Mohamed seorang tokoh muda yang sebelum ini merupakan seorang ahli perniagaan berjaya bertekad untuk terjun ke lapangan politik bagi merealisasikan impiannya untuk melihat masa hadapan politik Pahang dan negara tercinta ini berada di landasan yang betul. 

Anak ke 6 dari 9 beradik, beliau lahir dicelah kesempitan dan tekanan kehidupan di sebuah Felda di Triang, Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Terbuka Malaysia dan sedang menyiapkan tesis kedoktorannya (PhD) dalam bidang teknologi kemanusiaan di sebuah universiti awam. Berusia 45 tahun, dijodohkan dengan Puan Masturana binti Said dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata. 

Zulkifli sebelum terlibat secara aktif dalam politik merupakan seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan, perniagaan dan gerakan kemasyarakatan. Beliau adalah bekas tenaga pengajar di Institut HAFIZ Klang (1996), Pensyarah AQFA-IKIP Yayasan Pahang (1997-1999), Eksekutif Pemasaran AQFA Yayasan Pahang (1999-2001) sebelum menjadi Pengarah Urusan Self Idea Solutions Sdn. Bhd dan HADO Marketing Sdn. Bhd. 

Bekas pelajar Diploma Pengajian Islam Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dalam bidang dakwah ini memiliki beberapa sijil pengiktirafan dalam bidang kewangan dan pasaran antaranya, Financial Advisor dari Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) (2013), Private Retirement Scheme (PRS) (2015) dan Certified Islamic Estate Planner (2014). 

Selain terlibat dalam dunia perniagaan, Zulkifli juga aktif dalam lapangan gerakan aktivis masyarakat, hal ini terbukti apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif  TYM Komuniti (2016-2018), Pengerusi BAKA SRIM (2016-2018), Ahli Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota (2018), Timbalan Pengerusi PIBG SMA Darul Ulum, Penolong Setiausaha Persatuan Menembak Negeri Pahang, Pengasas dan  JK Mobil Musolla, Mantan Setiausaha KRT BISTARA, Mantan Setiausaha Persatuan Penduduk (PPBI) dan Mantan YDP Persatuan Falak Syarie KUSZA.

Prinsip politik beliau amat jelas, bersifat terbuka dan progresif. Percaya bahawa untuk mencipta perubahan dalam politik negara kita memerlukan kekuatan kesatuan. Tanpa ukhwah dan bersatu padu dalam kalangan parti politik pembangkang, impian untuk melihat pertukaran rejim politik di Malaysia hanyalah tinggal mimpi.

Dalam kerjaya politiknya, Zulkifli ialah Naib Pengerusi Amanah Pahang, Pengarah Komunikasi Amanah Pahang, Ketua Penerangan Pakatan Harapan Pahang, Timbalan Ketua Kawasan Amanah Indera Mahkota, AJK Biro Politik dan Pilihan Raya Amanah Pahang, Perunding Kerusi Amanah Pahang dan Penganalisis Politik Bebas. Bakat kepimpinan beliau terserlah sejak zaman persekolahan apabila dilantik sebagai Ketua Pelajar dan seterusnya diangkat menjadi pemimpin pelajar di peringkat kolej.

Dan sekarang, beliau sedang menyiapkan sebuah buku berjudul, Nukilan Zulkifli Mohamed : Tekal Berjuang Nekad Berubah, sebuah buku analisis politik semasa dan aspirasi perjuangan politik beliau selama ini. Pandangan dan kupasan beliau berkenaan senario politik semasa juga boleh dilayari di blog https://nukilanzm.blogspot.my/.

 #TekalBerjuangNekadBerubah

Wednesday, 14 February 2018

5.9 % Siapa yang Punya?



Saya masih tidak memahami bagaimana Dato’ Seri Najib boleh bercakap tentang pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.9 %, tetapi pada masa  yang sama harga barangan harian naik melambung sehingga benar-benar membebankan rakyat. Apakah maknanya 5.9 % jika harga Ikan Kembung Hitam naik sehingga 19.5%, Sos Maggi Cili naik 38.8%, Sardin Jenama Ayam naik 30.6% dan Kubis Cameron naik mencecah 29%. Kerajaan UMNO-BN tahu akan semua ini, tetapi mereka tetap mahu menunjukkan angka 5.9% yang tidak mempunyai apa-apa makna bagi rakyat biasa seperti kita. Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menjelaskan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kuasa belanja individu kini tidak lagi mempunyai kaitan, bekas perdana menteri itu juga berkata, kos hidup yang tinggi telah melampaui kenaikan pendapatan serta menjejaskan kuasa beli pengguna. “Pertumbuhan KDNK (kini) tidak bermakna kepada rakyat,” kata Pengerusi Pakatan HARAPAN itu dengan tegas. 

Kita juga dikejutkan dengan kenyataan berterus-terang Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pemilik hypermarket Mydin yang mendedahkan, sepanjang pembabitan syarikatnya dengan projek KR1M, Mydin mengalami kerugian lebih RM100 juta. Dengan kata mudah, 5.9% pertumbuhan yang dibanggakan oleh Najib sebenarnya tiada nilai signifikan di sisi ahli perniagaan seperti Ameer – mereka tidak dapat menikmati apa yang sedang dibanggakan oleh Najib itu. 

Malah, semalam Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran, dalam laporan yang lengkap dengan data, yang menunjukkan rumah di negara ini “tidak mampu dibeli” pada 2016 oleh standard antarabangsa. Dan ia berterus untuk tahun 2017 dan 2018.  Menurut BNM, sejak 2012, bekalan rumah baharu semakin berkurangan berbanding dengan pertambahan permintaan oleh isi rumah. Dan Sepanjang tahun berkenaan hingga suku pertama 2017, hanya 24% daripada pelancaran baharu dijual pada harga RM250,000 atau kurang, dan hanya 35% isi rumah Malaysia yang mampu memilikinya. Sejak 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat 9.8% manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3%. 

Kedudukan yang tidak seimbang itu paling ketara dari 2012 hingga 2014, apabila pertumbuhan harga rumah (26.5%) meningkat lebih sekali ganda daripada tahap pertumbuhan pendapatan (12.4%). Hal ini semakin tampak jelas apabila BNM berkata tahap jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual di Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh sedekad, dengan 146,497 unit pada suku kedua (S2) 2017, berbanding 130,690 unit pada suku yang sama pada tahun sebelumnya. Pada suku kedua 2017, hampir 82% unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000. 

Bayangkan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah walaupun harganya RM250,000 – maknanya rakyat Malaysia khususnya yang berumur bawah 40 tahun sememangnya tiada wang dan kuasa membeli, maka apakah ertinya 5.9% yang dibanggakan oleh Najib, sekiranya ia tidak memberi apa-apa makna pun kepada generasi B40? 

Jelaslah angka 5.9% pertumbuhan ekonomi negara yang diumumkan oleh Najib, realitinya tidak diketahui siapakah yang menikmatinya. Pada ketika ahli korporat seperti Datuk Ameer Ali Mydin mengalami kerugian ratusan juta, pada ketika generasi B40 bergelut dan tidak mampu membeli rumah bernilai RM250K dan pada ketika pak cik dan mak cik di kampung berkira-kira untuk membeli ikan Kembung serta sayur-sayuran yang harganya mencanak naik. Lantas Najib dan ahli kabinetnya tiba-tiba muncul, menjaja kisah pertumbuhan ekonomi negara 5.9%  yang sebenarnya tidak dirasai pun oleh rakyat kebanyakan.  Percayalah, sekiranya ekonomi Malaysia benar-benar kukuh bajet tahunan untuk kementerian-kementerian penting seperti Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan dipotong. Dan para penjawat awam, khusus di universiti tidak akan dikerah untuk menjana pendapatan bagi menampung realiti kewangan negara yang sememangnya tidak sihat.

Maka timbullah satu persoalan, milik siapakah 5.9% yang diceritakan oleh Najib itu? Dan golongan manakah yang memperoleh manfaatnya? Maka, Jawapannya hanya akan kita ketahui apabila UMNO-BN ditumbangkan dalam PRU-14 ini.   

#TekalBerjuangNekadBerubah 

Friday, 2 February 2018

Kempen #UndiRosak Kempen Orang Kecewa



Faisal Tehrani menulis sebuah cerpen pendek di dalam laman sesawang Free Malaysia Today, pada 18 Januari lalu yang berjudul “Mengapa Shali Tidak Mahu Mengundi”. Tulisan tersebut saya fikir sangat menarik untuk dihayati mesejnya.  Ia berkenaan kisah seorang anak muda bernama Shali yang berusia 29 tahun, yang tidak lagi berminat untuk mengundi dalam pilihan raya disebabkan  “masalah keyakinan dan kepercayaannya” terhadap sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini. 

Dia bukan sahaja tidak yakin dan percaya, malah kelihatan sudah sangat kecewa dengan seluruh sistem pilihan raya yang penuh dengan keraguan, manipulasi dan penipuan – sehinggalah akhirnya dia membuat keputusan, adalah lebih baik tidak mengundi daripada mengundi, namun ditipu hidup-hidup oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Cerita yang dilakarkan oleh Faisal Tehrani melalui watak Shali merupakan simbolik tentang  realiti kewujudan golongan pengundi muda yang telah hilang kepercayaan terhadap sistem yang menunjangi demokrasi di negara ini. Pada mereka, cara terbaik bagi menunjukkan rasa kekecewaan tersebut adalah melalui kaedah memboikot dan menghasut rakyat agar melakukan undi rosak. 

Sejak akhir-akhir ini, ketika semua pihak memberi tumpuan dalam melaksanakan proses demokrasi yang amat ditunggu-tunggu itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kempen di media sosial dengan “hashtag undi rosak dan boikot pilihan raya” yang sangat cepat merebak dan mendapat perhatian warga netizen di dalam media sosial. Kita sememangnya tidak menolak, akan terdapatnya agenda dan anasir tertentu melalui kempen tersebut. Ia seolah-olah telah dirancang  dengan rapi dan cuba mengambil kesempatan atas sentimen kekecewaan segolongan pihak terhadap isu-isu yang melibatkan calon perdana menteri, parti dan SPR. 

Kempen #undirosak, #boikotpilihanraya, #takmengundi dan #protestpru itu dikaitkan dengan sekumpulan pengundi muda yang kononnya sudah ‘bosan, penat dan letih’ dengan perkembangan politik negara. Kempen tersebut  mengajak rakyat negara ini terutama pengundi muda agar tidak keluar mengundi atau sekalipun keluar mengundi, kertas undi perlu dirosakkan di samping memboikot pilihan raya yang akan datang sebagai tanda protes. 

Fenomena kertas undi rosak adalah perkara biasa dalam pilihan raya walaupun tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu berlaku secara sengaja atau tidak. Sejarah pilihan raya di beberapa negara luar dan Malaysia sendiri menyaksikan beberapa kejadian kertas undi rosak ini berlaku. Sebagai contoh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, sebanyak 324,120 kertas undi rosak dan ditolak manakala pada PRU-13 pula 332,297 kertas undi rosak telah direkodkan iaitu 171,556 undi bagi kerusi Parlimen dan 151,741 untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN). 

Aliran pertambahan jumlah kertas undi rosak ini sememangnya membimbangkan lebih-lebih lagi apabila jumlah kertas undi rosak lebih besar atau hampir menyamai majoriti yang diperoleh pemenang. Pada pilihan raya umum yang lepas sekurang-kurangnya 13 kawasan Parlimen berhadapan dengan situasi sedemikian. Maka timbulkan pelbagai pandangan. Ada yang mengatakan jumlah undi rosak yang terlalu besar di satu-satu kawasan pilihan raya bukan disebabkan kecuaian pengundi tetapi sengaja dilakukan sebagai tanda protes kepada calon, SPR atau parti bertanding. 

Saya juga meyakini bahawa kempen undi rosak tidak muncul secara organik dalam kalangan pengundi muda yang kecewa, sebaliknya ia merupakan kempen yang strategi, yang dilakukan secara halus oleh sekumpulan individu bagi memenuhi kehendak dan kepentingan diri sendiri. Natijahnya, tidak sedikit pengundi muda yang terpengaruh dengan kempen dan dakyah kumpulan tersebut dalam meracuni pemikiran pengundi muda supaya mengikut rentak tari mereka, sekali gus memudahkan cita-cita dan dendam mereka direalisasikan. 

Saya masih meyakini bahawa sebahagian besar undi rosak dilakukan adalah berpunca daripada protes para pengundi terhadap sistem dan institusi SPR yang sering dilihat berat sebelah, kerana banyak membantu memenangkan parti pemerintah. Dan golongan inilah yang terikut-ikut dengan kempen yang tidak bertanggungjawab ini. Hakikatnya emosi mereka telah dipergunakan bagi memenuhi agenda kumpulan tertentu. 

Motif sebenar kempen seumpama ini digerakkan tidak dapat dipastikan secara jelas. Bagaimanapun kempen ini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya, malah turut melibatkan negara. Mengundi adalah hak setiap rakyat yang layak. Terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang sia-sia ini. 

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan untuk meyakinkan para pengundi muda bahawa sekiranya golongan ini menolak kempen yang merosakkan demokrasi ini dan berfikiran waras dengan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14 nanti, Insya-Allah kita akan sama-sama mengubah institusi pilihan raya di negara ini agar menjadi lebih telus, terbuka dan penuh integriti. Saya secara peribadi amat yakin dengan kebijaksanaan pengundi muda dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen kotor seperti ini. 

Oleh sebab itu jangan sesekali mensia-siakan undi anda atau terpengaruh dengan kempen yang tidak menguntungkan mana-mana pihak ini. Beri kepercayaan kepada Pakatan Harapan, untuk kali ini jangan rosakkan undi anda, hanya kerana mengikut emosi atau terpedaya dengan pihak yang kecewa. Jom, pakat ramai-ramai kita tolak kempen #UndiRosak kita tukar kepada kempen #JomUndiPH.  

#TekalBerjuangTekadBerubah

Friday, 19 January 2018

BERAKHIRNYA SEBUAH MITOS



Mahathir sebenarnya sebahagian daripada sebab-musabab yang menjadikan UMNO itu kuat. Itulah adalah fakta. Jika tidak, UMNO sudah lama digantikan dengan Parti Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Selepas Tun Mahathir bersara – Tun Abdullah dan Dato’ Seri Najib hanyalah penyambung saki-baki kekuatan UMNO yang masih ada setelah dirobek oleh gerakan reformasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dan semenjak daripada itu, UMNO tidak pernah berjaya untuk memulihkan kembali kekuatan politiknya di persada arus perdana. UMNO sentiasa dilihat tidak lagi relevan, di samping sebuah parti yang hanya mahu mengekalkan legasi dan warisan budaya politik yang berpaksikan kepada dasar perkauman dan bukan melalui elemen integriti, prestasi dan merit. 

Bantuan demi bantuan yang acap kali diberikan atas nama “membantu orang Melayu” akhirnya tanpa disedari merosakkan diri orang Melayu itu sendiri, sehingga terdapat segelintir orang Melayu yang takut untuk bersaing dan berdikari atas kekuatan diri sendiri. Minda dan mentaliti orang Melayu, khususnya di pendalaman sentiasa terikat dengan bayang-bayang UMNO – yang sebahagian besarnya adalah hasil ciptaan Mahathir juga. Ya, Mahathir bukanlah insan yang sempurna, sama seperti Haji Hadi dan Anwar Ibrahim, tetapi politik bukanlah cerita tentang kesempurnaan atau cerita untuk mengejar sebuah negara Utopia – yang seringkali didambakan oleh Plato, Socrates, Aristoteles, Thomas Moore dan Karl Marx. 

“Di Utopia tidak ada perang!” Kata Plato, “perang muncul karena ketamakan, ketamakan muncul karena ada rasa memiliki, dan Utopia tidak memiliki itu!” Teriak Plato berapi-api sambil disaksikan muridnya. 

Lalu, timbullah pelbagai pertanyaan, “Plato, bagaimana dengan negara Utopia menjalankan sistem kenegaraan? Apakah mereka juga mengadakan pilihan raya? Apakah Utopia menganut sistem demokrasi?.”

“Demokrasi sudah terlalu lama! Mereka menciptakan persaudaraan kolektif! Yang commune!”, ucap Plato. 

Sejak Plato mengucapkan hal tersebut lebih daripada 2000 tahun yang lalu, kita sering melihat demokrasi dan politik adalah untuk “melahirkan sebuah negara yang sempurna” –lantas kita pun berperang dan bercakaran sesama kita untuk melihat akan terlaksananya sebuah negara Utopia, tetapi negara Utopia adalah mimpi! Kita tidak akan menjumpai sebuah parti politik yang sempurna, atau seorang pemimpin yang sempurna atau sebuah negara yang sempurna – yang selalu ditemui dalam catatan sejarah tentang pemimpin yang baik adalah pemimpin yang adil, yang tidak mengambil hak rakyatnya, yang tidak menyusahkan rakyatnya, yang hidup dalam kesederhanaan, yang disayangi oleh rakyatnya, yang selalu diingati akan jasanya, yang selalu mengutamakan kebajikan rakyat dan negaranya. Tiada sebuah buku sejarah pun yang menulis si pulan dan si pulan adalah pemimpin yang sempurna – kecuali Muhammad nabi junjungan kita! Selain daripada itu tidak ada. 

Mengorek dan mencukil sisi gelap kepimpinan Mahathir tanpa mengambil kira jasa baktinya – adalah umpama orang yang hilang kewarasan, yang lebih selesa hidup dalam sejarah dan perjuangan silam, yang teragak-agak dalam membuat perhitungan penting yang berdasarkan waqi dan realiti semasa. 

Mereka membenci Mahathir dan dosa-dosanya – tetapi pada masa yang sama mereka seolah-olah selesa dan tidak berasa apa-apa terhadap kerosakan yang sedang melanda tanah air kita di bawah pentadbiran Najib. Rakyat mengeluh, ahli perniagaan menjerit, kakitangan awam dicekik dan ekonomi negara tersepit, namun mereka masih terpekik-pekik tentang sejarah silam Mahathir, tentang Pepsi dan Coca-cola dan tentang memilih antara dua syaitan – sedangkan mereka sendiri tidak menyedari syaitan yang sedang bersarang dan menghasut mereka agar kekal dan bersama dengan pemimpin yang merompak, mencuri, menggadaikan negara dan menzalimi rakyatnya! 

Mahathir, sekiranya mempunyai kepentingan diri sendiri – beliau boleh sahaja tidak meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dahulu, saat UMNO-BN menangis memujuknya agar kekal di puncak kuasa, tetapi beliau memilih untuk bersara. Dan sekiranya benar-benar beliau mempunyai cita-cita untuk menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri, ia sebenarnya mampu sahaja dilakukan pada ketika beliau masih berkuasa, atau setidak-tidaknya mengambil langkah berdiam diri atas segala kerosakan yang sedang menimpa negara pada hari ini, dan hanya perlu berbisik sahaja kepada Najib agar memberi laluan kepada Mukhriz untuk mendaki hierarki kuasa di dalam UMNO – tiada masalah untuk Najib menunaikannya, tetapi itu bukan pilihan Mahathir. 

Lantas, sikapnya yang bersunguh-sungguh untuk menjatuhkan Najib dan pasukannya membuktikan bahawa ada “sesuatu bencana yang amat besar” yang membimbangkan dirinya, lalu beliau memilih jalan lain untuk membetulkannya. Najib telah menyebabkan Mahathir kembali bekerja dan bukan untuk berpolitik. Beliau dipaksa untuk bekerja dalam usianya yang sudah lanjut demi membetulkan kembali arah dan masa hadapan negara dan rakyatnya yang semakin hampir dihancurkan, seandainya Najib dibiarkan terus berkuasa. 

Dengan mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan, sekurang-kurangnya 50% masalah utama orang Melayu untuk mencipta perubahan dalam politik tanah akhir dapat diselesaikan. Orang Melayu bukannya takut atau tidak mahu berubah, tetapi mereka memerlukan keyakinan yang utuh terhadap pemimpin Melayu yang mampu menjaga dan memimpin mereka. Mahathir – adalah nama yang amat sinonim dengan gelaran ultra-Melayu, bahkan amat lantang dalam memperjuang masa hadapan bangsanya, beliau adalah keyakinan baharu untuk orang Melayu membuang ketakutan mereka terhadap mitos kononnya akan terhapus kuasa Melayu di bumi tercinta ini, sekiranya  UMNO-BN kalah dalam pilihan raya. 

Inilah yang digambarkan oleh Presiden AMANAH, Tuan Haji Mohamad Sabu dengan kata-katanya, “Mereka yang letakkan, kalau UMNO kalah, Kit Siang jadi perdana menteri. Jangan main-main. Politik bukan statistik. Politik adalah persepsi. Persepsi inilah yang ditanam begitu lama menyebabkan orang Melayu dan pegawai kerajaan tidak berani buat perubahan. Bukan setakat orang kampung, para profesor, intelektual Melayu pun ada berfikiran begitu kalau UMNO-BN kalah, Lim Kit Siang akan jadi perdana menteri.” Dan pencalonan Tun Mahathir – telah melenyapkan mitos usang ini untuk selama-lamanya!

#TekalBerjuangNekadBerubah
     

Tuesday, 16 January 2018

PAKATAN HARAPAN DENGAN KEYAKINAN BAHARU



Ketua propaganda Nazi, Joseph Goebbels, yang mengutarakan pendapat bahawa “sesuatu pembohongan yang besar itu jika diulangi tanpa henti, lama-lama ia akan dipercayai.”, inilah yang sedang dilakukan secara agresif  oleh UMNO-BN terhadap komuniti Melayu di ceruk-ceruk kampung dan dalam kalangan warga peneroka FELDA. Mereka ditanamkan dengan kefahaman dan kepercayaan bahawa DAP ingin menguasai Malaysia atau mengundi Pakatan Harapan umpama mengundi DAP. Dengan kepercayaan karut itu jugalah UMNO-BN mengambil kesempatan membolot dan mencuri harta rakyat dan menafikan hak mereka selama ini. 

Namun demikian, perkembangan politik mutakhir telah menunjukkan arus perubahan yang amat berbeza dalam siri-siri gerakan parti pembangkang sebelum ini dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan UMNO-BN. Rakyat Malaysia  tidak mengira latar belakang ideologi politik seolah-olah sudah mula mencongak dan mengira untuk merasai perubahan iklim politik yang selama ini dipelopori gaya politik UMNO-BN. 

Pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan telah banyak membantu mengubah cara orang Melayu kampung pedalaman berfikir – Mahathir yang suatu ketika dahulu sangat bermusuhan dengan DAP, kini telah bersama-sama dengan Pakatan Harapan bagi menyingkirkan parti yang dipimpinnya sendiri selama 22 tahun. Mahathir, kerap kali dalam ucapannya berkata bahawa UMNO yang dikenalinya sekarang bukan lagi UMNO yang membela orang Melayu, sebaliknya ia telah menjadi parti milik Najib. 

Batang tubuh Mahathir telah memecahkan dogma lama yang bersarang di dalam kotak minda masyarakat Melayu pedalaman, yang percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela nasib mereka. Dan sekarang ia tidak lagi seperti itu – orang Melayu sudah mempunyai pilihan untuk menggantikan UMNO yang semakin hari semakin  menyusahkan hidup mereka, bahkan turut mencuri dan merompak harta mereka tanpa disedari. 

Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Mahathir telah memberi keyakinan baharu kepada sebahagian besar orang Melayu, bahawa nasib mereka akan terbela, malah masa hadapan mereka juga tidak akan terjejas, sekiranya mereka berani mengundi Pakatan Harapan. Mahathirlah satu-satunya dalam sejarah kepemimpinan UMNO yang mendapat “lencana kehormat” dengan nama julukan “Ultra-Melayu”  sejak parti itu dilahirkan pada tahun 1946. 

Jika terdapat pemimpin UMNO yang mempertikaikan usia Mahathir yang terlalu tua untuk memimpin kembali Malaysia, maka apakah perbezaannya pula dengan usia UMNO yang sudah pun mencecah 72 tahun? Bukankah itu juga menunjukkan bahawa UMNO sudah terlalu tua dan patut dibersarakan sahaja? 

Mahathir juga pada hari ini telah mencipta sejarah tersendiri dalam politik negara, apabila berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dalam satu pakatan raksasa demi mewujudkan keyakinan yang bukan hanya untuk rakyat Malaysia, tetapi yang lebih penting lagi adalah keyakinan untuk orang Melayu bahawa mereka mempunyai pilihan yang lebih baik daripada pakatan UMNO-BN. 

Mustahillah sosok tubuh yang berusia 92 tahun itu, yang berkali-kali menangis mengenangkan nasib bangsanya, yang selama ini berjuang meningkatkan maruah bangsanya, yang selama ini menegur, menasihat, dan membantu bangsanya, tiba-tiba tergamak mahu memusnahkan masa hadapan bangsanya sendiri yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun! Orang Melayu bukannya bodoh untuk menelan mentah-mentah hujah UMNO yang kononnya Mahathir  telah diperalatkan oleh DAP. 

Tiada sesiapa pun yang mampu menafikan, bahawa Mahathir adalah orang yang paling lantang bercakap soal kepentingan bangsa dan masa hadapan negaranya, kerana itu merupakan darah daging perjuangannya selama ini. Dan amatlah lucu, sekiranya UMNO terus melemparkan tuduhan bahawa  Mahathir sengaja menubuhkan PPBM dan menyertai Pakatan Harapan semata-mata mahu menghancurkan negara ini. Mahathir hanya mahu menghancurkan penipuan, penyelewengan dan rasuah yang telah menghancurkan bangsanya.  

Inilah kematangan politik yang ditunggu-tunggu oleh rakyat selama ini. Rakyat pada ketika ini telah disajikan dengan satu lagi juadah pilihan, Pakatan Harapan sebagai pilihan bagi mereka yang sudah muak dengan sajian lapuk Barisan Nasional. Generasi mutakhir hari ini melihat BN sudah lapuk dan tidak habis-habis dengan nyanyian dendangan lagu klasik lama yang sudah berhabuk. 

‘Grand coalition’ pakatan pembangkang ini lebih meyakinkan rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara ini sebagai salah satu 'option' yang garang, berwibawa dan 'stylish' untuk mengubah kerajaan yang tidak bermaruah, korupsi dan tidak jujur. PRU kali ini adalah kemuncak segala PRU dalam negara demokrasi yang sudah 60 tahun Merdeka bilamana Mahathir yang sudah berumur 92 tahun itu dipersetujui untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke- 7, sementara menunggu Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan. 
  
#TekalBerjuangNekadBerubah

Tentang Saya

Berazam untuk menyumbang bakti terhadap politik Pahang khasnya dan Malaysia amnya ke arah menjadi lebih baik dan stabil, Haji Zulkifli...